Wednesday 9 July 2014

CINEMA TODAY: Dawn of the Planet of the Apes (2014)


CINEMA TODAY:  Dawn of the Planet of the Apes (2014)
Directed by Matt Reeves

Planet of the Apes, POTA merupakan franchais filem yang agak berumur. Franchais yang bermula dari tahun 1968 ini berkembang seperti kebanyakan franchais filem hollywood yang lain yakni menjadi sakit dan uzur selepas beberapa filem terhasil. Seperti biasa, hollywood yang kekurangan idea berkarya sangat suka memberi nafas baru (reboot) kepada filem lama dengan harapan filem reboot ini akan menjadi magnet duit. Hanya segelintir sahaja filem reboot yang berjaya menjuarai filem asalnya. Rise of the Planet of the Apes merupakan antara contoh filem reboot tersebut. Ia memberi nafas baru kepada POTA serta menjadi filem prekuel dimana ia bercerita tentang asal-usul kejadian beruk pintar yang disulam dengan penceritaan yang menarik dan realistik serta tema yang lebih berat.

Selepas penonton disajikan dengan kelazatan RISE, kini muncul pula Dawn of the Planet of the Apes, yang merupakan filem sekuel terbaru arahan Matt Reeves. Satu tanggungjawab yang berat bagi Matt Reeves untuk memastikan filem sekuel ini dapat menyamai kehebatan karya RISE arahan Rupert Wyatt. Berbekalkan portfolio yang baik dengan filem seperti Let Me In dan Cloverfield, Matt Reeves merupakan calon yang sesuai bagi filem sekuel ini dan semestinya harapan penonton adalah sangat tinggi.

Plot - DAWN mengisahkan komuniti beruk pintar yang diketuai oleh Ceasar (lakonan Andy Serkis) mula diancam bahaya apabila kehidupan aman mereka di dalam hutan pinggir bandar San Fransisco bertembung dengan komuniti manusia. Kisah berlaku 10 tahun selepas RISE, di mana manusia merupakan spesis yang hampir pupus akibat penyakit maut Simian Flu. Saki baki manusia yang tidak terjejas dengan penyakit ini meneruskan kehidupan sukar apabila bekalan sumber asas dan tenaga semakin berkurangan. Dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sumber tenaga elektrik, komuniti yang diketuai oleh Dreyfus (lakonan Gary Oldman) telah mengarahkan Malcolm (lakonan Jason Clarke) untuk membaiki stesen hydroelektrik yang terletak di dalam hutan yang dikuasai oleh komuniti beruk.Di sinilah konflik antara 2 komuniti ini bertembung. Kedua-dua komuniti ini merasa terancam apabila dunia mereka bertembung. Keadaan yang penuh dengan prasangka buruk antara satu sama lain, diburukkan lagi dengan golongan-golongan jahat yang cuba mencabar keamanan yang wujud menyebabkan perang tercetus di antara mereka.

Storytelling - Filem bermula dengan babak yang mengkagumkan di mana Ceasar mengetuai komuniti beruknya memburu segerombolan rusa.Babak yang dirakam dengan cantik ini hanya ditemani dengan muzik ambient yang menyeramkan yang diambil sebagai penghormatan dari skor muzik filem 2001: A Space Odyssey. Dengan permulaan yang baik, filem ini berjaya mengekalkan momentumnya sehingga ke akhir. Ia sebuah filem yang dibuat dengan penuh kasih sayang oleh Matt Reeves dengan penceritaan yang bagus,kemas berserta dengan tema yang berat. Sebuah filem yang 'dark' dan penuh emosi, penonton dapat menghubungkan filem ini dengan apa yang terjadi pada realiti dunia sekarang. Sejujurnya saya memang tersentuh menonton filem ini apabila mereka yang naif dan jahil telah terkorban akibat perang. Terdapat beberapa metafora kepada realiti dunia sekarang yang cuba disampaikan.Antara subtextnya:
1) Apabila manusia lemah yang ditindas (penduduk asia barat,dunia ketiga, blok timur) itu diberi peluang sama taraf keupayaan dengan golongan yang kuat (new world order dan blok barat) tetapi mereka yg lemah ini masih juga tidak menggunakan peluang yang ada untuk menjadi bertambah maju. Yang terjadi ialah sebaliknya - iaitu kerosakan yang sama yang menjurus kepada sebab kenapa mereka yang lemah ini menjadi lemah pada mulanya.
2) Sejarah telah banyak mengajar kita bagaimana sesebuah kerajaan itu dijatuhkan dari dalam, di mana terdapat dalang yang akan membelot dan mengambil kuasa lantas perubahan rejim berlaku seperti menukar baju. Apa yang menarik, pembelot ini tanpa kita sedari ialah orang kanan seperti jeneral tentera yang sepatutnya menjadi benteng depan sesebuah negara. Lihat sahaja sejarah kerajaan Turki Uthman, 1965 Indonesia, Mesir, Libya, dan beberapa lagi negara dunia ketiga di mana perubahan rejim berlaku disebabkan pembelot-pembelot ini. Kesemuanya memiliki pattern yang sama.
3) Melihat pergerakan beruk ini dalam mengurus komuniti mereka dengan motto 'apes together, strong', ia nampak seperti sesuatu yang mudah. Tetapi realiti dunia sekarang perkara itu sangat sukar untuk dicapai. Manusia itu masih lagi leka bercakaran dan membiarkan diri dijajah oleh golongan yang kuat dengan aplikasi "devide and conquer" mereka.Mesej disini memberitahu kekuatan itu bermula dari penyatuan. Nabi Muhammad SAW pernah menekan perkara ini di mana bahayanya sesebuah kerajaan mempunyai lebih dari 1 pemimpin kerana ia akan mengundang perpecahan dan permusuhan dan ketaatan kepada pemimpin yg baik sangat dituntut bagi memastikan kerajaan itu hidup aman dan makmur.
Saya cuba juga mencari kelemahan filem ini, tetapi tidak berjaya. Terdapat banyak babak-babak menarik dalam filem ini. Antaranya babak seekor beruk yang berpura-pura menjadi beruk bodoh di hadapan manusia lalu membunuh manusia itu setelah berjaya merampas senjata mereka. Ia jelas menunjukkan, walaupun manusia itu sudah mengenali siapa musuh mereka namun seringkali manusia masih lagi leka dan mudah ditipu.
Ada byk lg yg harus diceritakan, namun saya tidak mahu menceritakan kesemuanya kerana tidak mahu memberikan spoiler filem ini.
(Nota: Hanya filem yang bagus sahaja yang layak untuk dirahsiakan spoilernya.Ingat tu)


Character development - Perkembangan watak ceasar diolah dengan sangat baik. Dilema yang dialaminya sebagai pemimpin komunitinya, hubungan yang suram dengan anaknya,  konflik yang wujud antara beliau dengan musuhnya, ketegasan dan kelembutan dalam dirinya merupakan aspek-aspek yang menjadikan watak Ceasar menjuarai kesemua watak manusia dalam filem ini. Selain itu, watak beruk-beruk seperti Koba, River dan yang lain juga dikembangkan dengan baik sekali. Saya sangat tertarik dengan ketelitian perilaku beruk dalam filem ini. Perilaku mereka bermula dengan bahasa isyarat, tetapi apabila keadaan menjadi tegang, mereka boleh melontarkan suara, perubahan dibuat sangat halus dan tidak mendadak. Perkembangan watak manusia agak kurang sedikit berbanding beruk. Malcolm merupakan watak utama manusia digambarkan seorang yang cintakan keamanan dan sanggup melakukan apa sahaja mengekalkan keamanan itu. Yang mendukacitakan ialah watak Dreyfus lakonan Gary Oldman yang tidak dikembangkan. Ia seperti satu pembaziran apabila pelakon hebat seperti beliau hanya mempunyai durasi yang pendek dalam filem ini. Namun masih terdapat momen yg menyentuh perasaan bagi watak Dreyfus ini.
  

Skrip dan lakonan - Skrip filem ini sangat baik. Hasil tulisan Rick Jaffa, Amanda Silver, Mark Bomback. Penulis seperti mereka sangat diperlukan hollywood sekarang. Lakonan Andy Serkis sebagai Ceasar layak mendapat anugerah Oscar pada pendapat saya. Ini kerana lakonannya bukan sekadar seorang pelakon motion capture. Andy menjiwai watak ceasar dari dalam. Boleh dilihat dalam beberapa scene yang tidak memerlukan Ceasar bergerak, tetapi emosi, karisma, kerektor ceasor itu sangat signifikan dilakonkan oleh Andy. Lakonan Toby Kebbell sebagai Koba juga sangat baik,diikuti Jack Russell sebagai Malcolm dan Gary Oldman sebagai Dreyfus. Walaupun watak Dreyfus sangat sedikit,Gary Oldman sempat lagi meyakinkan penonton dengan momen sedih Dreyfus mengimbas memori silam.

Muzik dan lain-lain - Alunan piano yang ringkas serta bercampur dengan muzik ambient pada saat emosi dan tribal percussion pada babak aksi hasil garapan Michael Giacchino memberikan mood yang bersesuaian dengan filem ini. Syukur tiada muzik boombastik dari hollywood yang kedengaran. Giacchino juga sempat mengadunkan muzik dari filem asal POTA dan filem 2001 sebagai tanda penghormatan. Bagi efek CGI, tahniah diucapkan kepada pasukan Weta Digital yang telah berjaya menghasilkan efek visual/motion capture yang paling realistik setakat ini. Ia membuatkan makhluk asing dari filem Avatar nampak seperti watak kartun. Percayalah, anda tidak akan nampak hasilnya seperti beruk jadian atau beruk alien, ia nampak seperti beruk betul yang dilatih bercakap. Hasil kerja kamera juga dilihat sangat mantap, terasa seperti menonton filem Sergio Leone apabila wujud banyak babak close up bagi melontarkan emosi watak. Shot pada babak aksinya juga sangat cemerlang. Kamera shot ketika kereta kebal yang dinaiki seekor beruk merempuh pintu utama bandar manusia masih segar dalam ingatan saya.

Kesimpulannya, DAWN bukan sahaja hasil Hollywood blockbuster yang hebat malah ia juga punya jiwa. Ia antara filem sekuel yang berjaya mengatasi kehebatan filem terdahulu iaitu RISE. This is the power of cinema - bila mana isu keganasan, pertukaran regim, dominasi, counter balance cuba diadunkan dalam sebuah filem blockbuster. Filem harus tonton 2014. Saksikannya di pawagam berhampiran anda sekarang.

My personal evaluation: 9/10 bintang


Official Site: 
20th Century Fox Official FB Page: www.facebook.com/foxmovies.my
Fox Malaysia’s YouTube Channel: https://www.youtube.com/user/FoxMalaysia


Sunday 6 July 2014

CINEMA TODAY: Deliver Us From Evil (2014)




CINEMA TODAY:  Deliver Us From Evil  (2014)
Directed by Scott Derrickson

Filem horror hollywood memang sukar untuk lari dari resepi sama yang diulang-ulang. Terutamanya filem horror yang melibatkan rasukan syaitan dan upacara pembersihan hantu (exorcism). Pendapat saya, untuk lari dari klise filem horror ini, filem sebegini harus menekankan pada jalan cerita. Jalan ceritanya perlu ada tujuan, cause and effect, dan tanda tanya. Dimana tanda tanya itu harus dijadikan misteri yang harus diungkaikan agar ia menjadi relevan pada penceritaan. Filem seperti Conjuring telah membuktikannya. Malah filem karya Scott Derrickson sebelum ini iaitu Sinister juga boleh dikatakan berjaya dari segi penceritaannya.

Filem terbaru Deliver Us From Evil kali ini Scott Derrickson cuba melakukan sesuatu yang segar bagi filem horror dengan menggabungkan genre horror bersama genre crime thriller. Karya yang diambil dari novel kisah benar pengalaman detektif Ralph Sarchie ini semestinya memberi harapan yang tinggi kepada peminat filem horror.

Plot - Mengisahkan detektif polis Ralph Sarchie lakonan Eric Bana berdepan dengan peristiwa-peristiwa pelik ketika menyiasat satu kes yang melibatkan beberapa bekas askar marin US yang telah dirasuk makhluk halus ketika dalam operasi perang di Iraq. Bersama rakan polisnya bernama Butler, Ralph akhirnya terpaksa bergabung tenaga bersama seorang paderi apabila peristiwa ganjil ini berada di luar kawalan.

Storytelling - Permulaan ceritanya nampak seperti ada harapan. Dengan cinematografi dan suasana hujan dalam beberapa scene, moodnya terasa seperti menonton filem Seven karya David Fincher. Penyiasatan detektif Sarchie bermula apabila seorang wanita bernama Jane cuba membunuh anaknya di sebuah zoo. Di sini lah segala tanda tanya bermula bagi mengungkai misteri dari kejadian pelik ini. Satu demi satu kejadian pelik timbul selepas itu. Yang menjadi masalah bagi penceritaan filem ini ialah perkembangan ceritanya. Kebiasaannya sesebuah filem misteri atau noir, perkembangan cerita akan semakin berkembang semasa protagonis cuba menyelesaikan misteri. Tetapi filem ini menjadi sebaliknya. Penceritaannya agak lemah, tidak fokus dan kadang kala seperti out of place. Terdapat  beberapa scene yang kelihatan tidak membantu dan mengganggu penceritaan. Antaranya:
1) Scene waktu Christina, anak si Sarchie diganggu di kamar tidurnya dgn bunyi cakaran makhluk halus dan patung bergerak sendiri. Apa kesudahannya kejadian itu. Siapa yang mengganggu Christina. Adakah rumahnya berhantu. Atau angkara watak utama antagonist, Santino. Apakah relevan scene itu pada penceritaan jika tidak dikembangkan.
2) Terdapat beberapa 'jump scare' berbentuk gambaran lembaga yang sering mengganggu Sarchie. Gambaran lembaga itu datang dari kisah silam Sarchie. Adakah gangguan ini angkara hantu Santino. Apakah hubungkait gambaran lembaga itu dengan hantu Santino.
3) Gambaran lembaga itu sebenarnya gangguan emosi Sarchie apabila penonton dibawa ke kisah silam Sarchie dimana lembaga itu sebenarnya ialah penjenayah yang dibunuh Sarchie. Lagi sekali, apa hubungkaitnya kisah ini dengan plot utama cerita.
4) Apakah motif mural purba yang menjadi punca bermula rasukan makhluk halus itu ditutupi dengan cat. Siapakah yang melukis mural purba itu. Apakah  tujuannya mural purba itu dilukis pada awalnya lalu ditutup dengan cat pada akhirnya.
5) Apakah tujuan keluarga Sarchie diculik oleh Santino. Kenapa Santino tidak membunuh sahaja isteri dan anak Sarchie.  Adakah untuk dijadikan tebusan. Adakah Santino perlukan duit.
6) Mural purba  itu sepatutnya akan merasuk orang yang melihatnya, tapi kenapa Sarchie tidak dirasuk selepas melihatnya cuma mengalami gangguan beberapa 'jump scare' dari kisah silamnya.
7) Mural purba itu dijelaskan seperti pintu ke dimensi lain tapi apakah hubungkaitnya lagu dari kumpulan The Door diputarkan beberapa kali. Adakah makhluk halus itu minat lagu  The Door. Atau sekadar ingin mengambil lagu The Door sebagai tema kepada mural purba yang merupakan pintu ke dimensi lain.
Segala point-point kelemahan cerita ini diakhiri dengan scene upacara pembersihan hantu di balai polis yang tidak menjawab langsung segala soalan-soalan yang ditimbulkan sebelum ini.
Detektif Ralph Sarchie menemui mural purba di rumah rakan Santino.

Character development - Perkembangan watak Ralph Sarchie  sangat mengelirukan. Ada kalanya watak beliau digambarkan seperti mengalami tekanan kerja. Tetapi kadang kala nampak seperti diganggu makhluk halus. Dan akhirnya wataknya digambarkan mengalami tekanan emosi yang lama terpendam akibat kisah silam yang tragis. Bagi watak antagonist utama, perkembangan watak Santino kelihatan lemah. Objektif wataknya kelihatan samar-samar.Apakah motif Santino membunuh Jane. Kenapa Jane tidak dibunuh di zoo ketika permulaan cerita tetapi dibunuh pada babak akhir. Apa yang Santino mahukan sebenarnya. Apa yang dia mahukan dari Sarchie. Adakah dia mahu membunuh Sarchie atau memindahkan hantunya pada Sarchie. Persoalan yang timbul ini sangat mengganggu penceritaan.Bagi watak-watak lain pula, ia hanyalah sebagai pelengkap cerita kepada cerita yang tidak lengkap.

Skrip dan lakonan - Lakonan Eric Bana kelihatan baik. Bagi pelakon lain pula, lakonan mereka seperti kurang menyerlah akibat dari watak-watak lemah yang mereka lakonkan. Skripnya pula kelihatan sederhana.

Muzik dan lain-lain - Score muzik filem ini boleh dikatakan baik dan bersesuaian dengan mood dan suspens filem ini. Cuma beberapa lagu dari kumpulan The Door pada saya tidak bersesuaian dengan filem ini. Saya sebagai penggemar lagu The Doors pada mulanya menyukai lagu ini ketika pertama kali diselitkan dalam salah satu scene. Tetapi apabila beberapa lagu The Door ini diselitkan pada babak lain ia menjadi tidak sesuai dan akhirnya mengganggu mood seram yang cuba disampaikan.Praktikal effek dalam filem ini agak baik cuma terdapat effect lampu berkelip-kelip pada beberapa babak aksi yang agak mengganggu penglihatan penonton.

Kesimpulannya, apa yang diharapkan dari sesuatu yang segar dari gabungan genre horror dan crime thriller menjadi tidak kesampaian apabila Deliver Us From Evil menjadi mangsa terbaru filem horror akibat penceritaan yang lemah dan tidak kukuh. Walau bagaimanapun, ia masih lagi boleh ditonton kerana ia bukanlah filem yang buruk. Saksikan Deliver Us From Evil di pawagam berhampiran sekarang dan bersedia untuk ditakutkan.

My personal evaluation: 5/10 bintang

Official Site:
Sony Pictures Malaysia Official FB Page: https://www.facebook.com/SonyPicturesMalaysia