Sunday 11 September 2016

CINEMA TODAY: Pekak (2016)

CINEMA TODAY: Pekak (2016)
Directed by Khairul Azri Md Noor

Filem berkisarkan penyalahgunaan dadah dan impaknya bukanlah sejenis filem yg asing di persada dunia cinema. Ia sebuah topik berat dan jika kena dgn penceritaannya, ia boleh menjadi sebuah filem yang menarik. Antaranya ialah filem Trainspotting karya Danny Boyle yg menyentuh topik penyalahgunaan dadah di kalangan anak muda dgn rasa yang kelakar dan menghiburkan. Requiem for a Dream karya Darren Aronofsky pula menceritakan penyalahgunaan dadah dan impaknya dalam sisi yg gelap dan menakutkan. Amat jarang sekali sebuah filem melayu cuba membedah permasalahan dadah yang melibatkan remaja. Ya. Filem melayu jarang menceritakan realiti hidup. Ia lebih gemar berpusing dalam alam escapism gangster, hantu, dan lawak bodohnya. Alasan pembikin filem ini mudah. Tak mahu ambil risiko rugi kerana penonton filem tempatan amat suka dengan tema sebegini. Namun begitu sejak akhir2 ini, ada sedikit kematangan dpt dilihat daripada penonton tempatan. Mereka tidak lagi sanggup mengeluarkan duit menonton wayang seperti membayar tiket ke funfair segera. Mereka inginkan cinema bermutu. Terdapat beberapa pembikin filem yg menyahut cabaran ini. Mereka juga ingin lari dari tipikal filem melayu dan cuba menghasilkan cinema berkualiti. Salah seorang dari mereka ialah Khairul Azri Md Noor. Beliau yang sebelum ini terkenal dalam membikin klip video muzik bg artis ternama kini mencuba nasib dalam dunia cinema yg penuh cabaran untung rugi. Filem arahan sulung tuan Khairul Azri Md Noor ini mengisahkan seorang OKU bernama Uda bertemu cintanya Dara di tengah-tengah gejala sosial yg melibatkan remaja dan najis dadah.

Plot - Filem ini mengisahkan tentang seorang pengedar dadah bernama Uda (Zahiril Adzim) yang cacat pendengaran. Uda menggapai cita-cita untuk kembali mendengar, dimana dia akhirnya terjerumus dalam aktiviti penjualan dadah bagi menampung pembiayaan implan kokleanya. Takdir telah menemukan Uda dengan Dara (Sharifah Amani), seorang pelajar sekolah bermasalah yang ingin melarikan diri daripada bapanya yang terlalu mengongkong. Hubungan yang luar biasa ini mula menerbitkan bibit-bibit cinta di antara mereka, namun mereka terpaksa menghadapi cabaran dunia yang penuh dengan keganasan, seks, dan dadah. Apakah yang bakal terjadi dgn mereka? Adakah mereka akan bersama mengharungi cinta dalam kehidupan yang merosakkan ini?

Storytelling - Permulaan filem ini cukup indah. Ia memaparkan Uda yang berdiri berlatarkan dinding konkrit sedang menunggu sesuatu. Ketika ini audio filem ini tiada. Keadaan senyap sunyi dikeliling Uda ditemani dgn cahaya lampu neon yang menyinari wajahnya. Tiba2 muncul keretapi melalui sisi Uda dengan laju sambil Uda tersenyum riang menikmati bunyi keretapi dan angin yang terhasil darinya. Ketika babak ini sy dapat rasakan ada sesuatu yang menarik dalam feel penceritaan filem ini. Tanpa lengah penonton dibawa mengenali watak Uda dengan melihat secara dekat kehidupan sehari beliau. Ketika ini editingnya pantas, menarik, dan kelakar. Bermula dengan Uda menjual dadah sehingga dia pulang ke rumah saat lewat malam. Selepas pada itu penonton dikenalkan dengan watak-watak lain antaranya watak Dara dan Melur (Sharifah Sakina), Azman Picasso (Amerul Affendi) dan Kamil (Iedil Putra). Dengan plot yang ringkas, tuan Khairol Azri boleh dikatakan berjaya membawa filem ini dengan pacing yang agak menarik dan tidak membosankan hingga ke akhir. Saya suka dengan feel filem ini. Ia kelihatan sedikit dark dan kasar. Namun begitu, feelnya sedikit lari pada penghujung filem terutamanya pada babak di hospital yang kelihatan seperti drama swasta tv3 pukul 7 malam. Tema filem ini yang menceritakan masalah sosial remaja dipaparkan dengan visual yang agak berani. Ia menceritakan secara jujur realiti masalah sosial remaja yang melanda orang melayu terutamanya mereka dari golongan miskin bandar. Penonton dapat memahami realiti sosioekonomi masyarakat miskin bandar ini dan kaitannya dengan penyalahgunaan dadah di kalangan remaja. Dan semestinya filem ini bukan untuk tontonan kanak-kanak. Tema sosioekonomi masyarakat ini disajikan dengan baik tapi sayang ianya tidak diperhalusi lagi dari segi konflik dalaman, cabaran dan impaknya. Apa yang dipaparkan ialah si miskin akhirnya ditumpaskan oleh si kaya. Tahniah diucapkan kepada Azril Hamzah, Mohd Khairul Azri dan Alfie Palermo sebagai penulis filem ini kerana beraya membawa realiti kehidupan yang pahit ini ke dalam naskah filem. Ya. Penulis filem ini ada 3 orang. Diharapkan mereka bertiga dapat bekerjasama lagi di masa akan datang dengan karya-karya mantap lagi segar.

Character development - Watak Uda seorang pekak dibangunkan dengan baik. Walaupun pekak, namun ada warna pada wataknya. Di sebalik kelemahan dirinya dia ada kemahuan, minat, tujuan yang jelas. Agak kelakar juga bila melihat gelagat Uda yg gemar mendengar lagu berjudul Rintihan Hati nyanyian Othman Hamzah setiap malam sebelum tidur. Tak lupa dengan gaya pakaiannya yg sering mengenakan baju band seperti kumpulan Joy Division dan The Strokes. Boleh tahan juga taste muzik engkau ya Uda. Samaada pendengaran Uda tidak pekak sepenuhnya atau perincian watak ini disengajakan oleh tuan Khairul untuk memberi warna pada Uda. Azman Picasso sebagai watak antagonist juga agak menarik. Wataknya seorang penagih dadah yang kelakar, bersahaja, pentingkan diri sangat dominan kehadirannya dengan lakonan mantap dari Amerul Affendi. Watak Dara sebagai cinta hati Uda tidak kurang hebatnya. Begitu juga Melur sebagai watak katalis yang liar. Cuma watak Kamil sahaja yang kelihatan seperti one dimensional. Perilaku, sifat dan motifnya sebagai anak muda kaya kelihatan tidak diperhalusi dengan baik seperti watak-watak yang lain.

Dialog dan lakonan - Pujian harus diberikan pada penulis filem ini kerana berjaya menghasilkan dialog yg realistik dan bersahaja. Lontaran dialognya juga ada kalanya sangat lucu dan mudah diingati seperti yang sering dilontarkan watak Azman Picasso "Kejap, biar gua cekidout dulu", "Man, man sedara" dan banyak lagi. Dari segi lakonan pula, Zahiril Adzim boleh dikatakan berjaya membawa watak seorang pekak yang punya cita-cita besar. Lakonannya sangat meyakinkan. Seperti biasa Amerul Affendi berjaya mencuri tumpuan penonton dengan lakonan "method acting"nya yang cemerlang. Begitu juga lakonan cemerlang Sharifah Amani sebagai Dara yang naif dan Sharifah Shakinah yg sangat menyakinkan sebagai budak sekolah yang liar. Joe Flizzow sebagai seorang pusher yang happy go lucky juga mencuri perhatian. Walaupun watak Joe agak kecil tetapi beliau memberikan yang terbaik bagi kemunculan pertamanya dalam naskah filem.

Muzik dan lain-lain - Skor muzik filem ini merupakan salah satu penyumbang utama dalam memberi rasa bagi filem ini. Tabik spring diberikan pada tuan Monoloque kerana berjaya menyusun skor dengan cemerlang bersesuaian dengan setiap babak yang terlibat. Tidak lupa lagu ciptaan beliau berjudul Uda Dan Dara yang sangat "dream pop" dan indah diikuti lagu-lagu seperti Rintihan Hati (Othman Hamzah), Sepanjang Riwayatku (They Will Kill Us All) dan Baek (Joe Flizzow) yang berjaya memberi impak pada watak-watak yang terlibat. Cinematografi filem ini juga digarap dengan baik sekali. Camera work yang menarik, lighting yang memukau telah berjaya memberikan kelainan pada filem ini sebagai sebuah filem melayu. Ia bersesuaian dengan mood filem yang agak dark, kasar, dan trippy. Sound mixing filem ini ada sedikit masalah bagi saya. Diagetic dan ambient soundnya agak kurang menyerlah pada beberapa babak. Vocal soundnya pula seperti tidak matching bersama ambient sound dengan baik. Namun begitu ia tidaklah mengganggu mood menonton.
Ooohhh oohh
Dunia yang gila penuh dengan konspirasi
Kota yang gila penuh dengan hipokrasi
Ku ingin gila bersamamu sampai mati

Aaaaa aaa
Masyarakat yang gila penuh sensasi
Otakku gila penuh dengan komplikasi
Ku ingin gila bersamamu sampai mati
Ku ingin gila bersamamu sampai mati

Kesimpulan - Pekak merupakan filem yang berani menyentuh secara jujur tentang masalah sosial dan dadah yang melibatkan remaja yang digarap bersama plot yang ringkas tetapi menarik. Ia lucu, tragis, sedikit realist dan menghiburkan. Ya. Visual filem ini agak mengganggu pada sesetengah babak dan tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Bagi saya sebagai orang dewasa, menonton Pekak seperti menonton cerminan realiti kehidupan masyarakat masakini. Ia sukar untuk dilihat dan pahit untuk ditelan. Namun itulah realiti sebenar kehidupan kita sekarang terutamanya masalah sosial yang melanda anak muda. Malah tidak keterlaluan saya katakan masalah yg melanda anak muda masakini adalah lebih teruk dari apa yang dipaparkan oleh Pekak. Naskah filem tidak semestinya perlu ada mesej atau tauladan. Namun cara untuk menyampaikan mesej itu bukan dengan cara menyumbat ke mulut penonton secara terang-terangan seperti TV Pendidikan dengan isinya yang tidak asli dan menipu. Tidak salah bagi pengkarya filem ingin menyelitkan mesej, motif, buah pemikiran, rasa atau impian secara subteks dalam karya mereka. Ia terpulang kepada penonton untuk menilai mengikut interpretasi masing-masing. Adakalanya filem itu seharusnya menjadi cerminan realiti agar kita dapat melihat dengan skop yang luas seperti mata burung dengan harapan kita sedar dengan keadaan sekeliling. Filem Pekak tidak memberi mesej atau motif yang buruk kepada penonton walaupun visualnya agak kasar. Ia tidak mengangkat kejahatan atau perkara buruk kerana pengakhiran bagi filem ini, watak atau elemen yang jahat itu musnah. Dan pada saya itu sudah menunjukkan bahawasanya pengkarya Pekak telah menjalankan tanggungjawab sosialnya.

My personal evaluation: 7.5/10 bintang

Pekak sudah masuk minggu ke-2 sejak mula ditayangkan bermula 1 September lepas,
Saksikan Pekak di pawagam berhampiran anda dengan kadar segera sebelum ia melabuhkan tirainya.
#pekakmovie
#pek4k
Sekitar Pra Tonton di Rumah Titi pada 20 August 2016
Sekitar Pra Tonton di Rumah Titi pada 20 August 2016
Sekitar Pra Tonton di Rumah Titi pada 20 August 2016

Sekitar Gala Premiere filem Pekak pada 24 August 2016
Sekitar Gala Premiere filem Pekak pada 24 August 2016