Wednesday 13 August 2014

CINEMA TODAY: Into The Storm (2014)


CINEMA TODAY:  Into The Storm (2014)
Directed by Steven Quale

Disaster Movie merupakan satu genre movie yang mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sebut sahaja genre ini, filem seperti Twister, Armageddon, 2012, Deep Impact dan sebagainya akan bermain di fikiran. Genre Disaster Movie ini kebiasaannya lebih memfokuskan pada skala kebinasaan alam yang berlaku dan kadang kala penceritaan dan perkembangan watak menjadi fokus nombor 2 dalam filem. Akibat dari resepi yang tipikal ini, kelompok peminat filem sebegini menjadi berkurangan. Walaupun demikian. hollywood tidak pernah berputus asa dalam menyajikan genre filem ini kepada penonton kerana mereka percaya ia masih lagi memberi pulangan.

Filem Into The Storm merupakan hasil terbaru genre ini. Karya arahan Steven Quale (Final Destination 5) ini cuba memberi kelainan untuk genre Disaster Movie dengan mengadunkan genre Found Footage ke dalam filem bersama dengan CGI terkini bagi menhasilkan skala kebinasaan yang lebih hebat.

Plot - Mengisahkan kejadian bencana puting beliung yang maha dasyat menimpa penduduk bandar Silverton. Sekumpulan pemburu puting beliung, sebuah keluarga, dan beberapa penduduk yang mengalami saat-saat kejadian sempat merakamkan momen tersebut di mana akhirnya mereka bertemu dan sama-sama mengharungi saat genting menghadapi puting beliung rasaksa hingga ke penghujung cerita.

Storytelling - Dengan mengadunkan gaya Found Footage, pengarah Steven Quale cuba memberikan satu kelainan kepada filem bertemakan puting beliung ini. Dengan itu, gaya kerja kamera filem ini lebih ditumpukan pada First Person View iaitu dari kacamata lensa kamera yang dirakam oleh watak-watak dalam filem.Permulaan ceritanya agak sedikit perlahan. Penonton dikenalkan dengan sekumpulan pemburu puting beliung yang diketuai oleh Pete. Pencarian mereka dibantu oleh Allison, seorang wanita yang pakar dalam pencarian puting beliung dan tidak lupa kenderaan canggih mereka yakni sebuah kereta kebal yang mampu menghadapi puting beliung dalam memudahkan tugas mengambil gambar di dalam mata pusat puting beliung. Kemudian penonton dikenalkan pula dengan sebuah keluarga, Gary dan 2 orang anak lelakinya di mana ketika itu mereka sedang sibuk dalam merakamkan ucapan untuk time capsule 25 tahun akan datang. Filem bertukar rancak pada 2nd Act filem, apabila puting beliung mula menampakkan bentuknya. Dan ketika ini, penonton seperti dibawa masuk ke dalam filem dengan keadaan puting beliung yang nampak seperti benar-benar wujud dan mendebarkan. Terdapat juga aksi lucu dalam filem ini hasil dari garapan dua sahabat hillbilly yang gemar merakamkan aksi bahaya untuk tatapan video youtube mereka. Kedua orang badut ini sangat menggelikan hati kerana mereka seperti memberikan kritikan sosial kepada penonton yang suka melakukan kerja bodoh dan merbahaya semata-mata untuk mengejar populariti.

Character development - Maaf, filem ini mempunyai sedikit perkembangan watak. Kelihatan watak Pete sebagai pemburu puting beliung yang fanatik dan watak Allison yang rindukan anaknya yang dikembangkan tapi masih dalam paras minimum.
  
Skrip dan lakonan - Lakonan dan skrip agak sederhana dan kadang-kadang terasa seperti menonton siri tv yang buruk.

Muzik dan lain-lain - Apa yang membuatkan filem ini agak meyakinkan dan memberi rasa agak mendebarkan ialah penggunaan skor muzik yang sangat-sangat minimal dimana setiap perbualan dan aksi tidak ditemani dengan muzik sesuai dengan genre Found Footage.
Walaubagaimanapun, penggunaan kamera sebagai medium Found Footage seperti tidak digunakan dengan serius dan ini sangat mengganggu mood menonton. Sebagai contoh, terdapat gaya kerja kamera yang mewakili Third Person View yang bercampur dengan mode First Person View bagi Found Footage dimana scene watak yang memegang kamera wujud padahal tidak ada orang dalam filem yang merakamkan wataknya ketika itu dan banyak lagi contoh-contoh yang lain. Kamera-kamera yang wujud dalam filem juga seperti tidak konsisten dalam membezakan dari segi jenis kamera yang digunakan kerana filem ini nampak seperti mempunyai tone cinematografi yang sama dan bukan tone found footage yang dirakamkan oleh beberapa jenis kamera dalam beberapa keadaan. Sebagai contoh, scene di dalam sekolah dirakamkan oleh kamera litar sekolah dimana visualnya dibezakan dengan kualiti visual kamera litar tetapi kesemua scene dalam filem tidak dibezakan dari segi penggunaan kamera yang digunakan watak-watak seperti kamera Go Pro, kamera telefon, dan kamera Betacam. Masalah ini boleh dilupakan sekiranya visual kamera litar di sekolah itu menggunakan tone yang sama dengan tone cinematografi filem. Tetapi gaya kerja kamera Third Person View dan First Person View yang bercampur aduk itu dilihat sangat buruk dan tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Untuk menutup kelemahan-kelemahan yang timbul, pengarah cuba memomokkan penonton dengan hasil kerja CGI yang menyakinkan. Bencana puting beliung dihasilkan dengan skala yang maha dasyat dan mendebarkan. Percayalah, CGI ini lah yang mampu mengawal mood menonton agar penonton terhibur. Dan saya sangat terhibur dengan scene puting beliung itu.



Kesimpulannya, pengalaman menonton Into The Storm dirasakan seperti menaiki roller coaster. Sangat mendebarkan dan sangat menghiburkan. Itu sahaja. Penceritaan, perkembangan watak, lakonan, skrip, gaya kerja kamera seperti tidak ditekankan oleh pengarah. Hanya efek CGI sahaja yang mampu menyelamatkan filem ini. Tanpa hasil kerja efek CGI yang disajikan, filem ini hanya mampu saya beri sebanyak 4/10 bintang dan nasibnya agak baik. Jika anda ingin merasakan pengalaman puting beliung maha dasyat dan menghiburkan, jangan lepaskan peluang menonton filem ini. Bergegas ke panggung wayang berdekatan anda sekarang.

My personal evaluation: 6.5/10 bintang


Official Site: 
          Warner Bros. Pictures Official FB Page: www.facebook.com/WarnerBrosMalaysia