CINEMA TODAY: Interstellar (2014)
Directed by Christopher Nolan
SPOILER ALERT: Amaran - review filem ini agak sedikit istimewa kerana lebih tertumpu pada perbincangan tentang struktur cerita, maka dengan itu spoiler filem adalah tidak dapat dielakkan.Sila berhenti membaca setakat ini dan tonton filemnya dahulu sebelum anda pergi lebih jauh.
Christoper Nolan bukan lagi nama baru dari sudut komersial Hollywood. Seorang pengarah yang sinonim dengan karya-karya yang merangsang minda penonton dengan menyediakan tema yang kompleks dalam masa yang sama masih terhibur. Bermula dengan filem debut bertajuk The Following (1999), pengarah indie kelahiran UK ini, mula mengukir nama di persada blockbuster dengan filem box office seperti Dark Knight trilogy dan Inception. Apa yang menariknya, walaupun telah mencapai taraf pengarah blockbuster tetapi beliau masih dapat mengekalkan susur galur acuan artistiknya atas kepercayaan penuh yang diberikan oleh studio besar Hollywood. Beliau boleh dikategori sebagai auteur director bagi filem blockbuster dimana beliau berkuasa penuh atas proses kreatif dalam penghasilan karya tanpa campur tangan pihak luar. Secara jujurnya saya merupakan peminat setia kesemua filem beliau. Setiap karya yang dihasilkan beliau akan melekat lama dalam minda penonton dan kebiasaan menjadi bahan untuk dibincangkan selepas menonton.
Interstellar merupakan buah tangan terbaru dari Christoper Nolan. Filem hasil tulisan beliau bersama adiknya Jonathan Nolan menceritakan tentang survival makhluk, kekuatan cinta, pengorbanan, pencarian jawapan dalam kehidupan dari konteks alam semesta yang berkait dengan ruang dimensi dan waktu, Secara dasarnya, filem ini berjaya dalam menyampaikan idea dan temanya. Penonton akan terkesan emosinya dengan pengalaman yang dilalui si protagonist dalam filem. Namun atas beberapa perkara yang tidak ditekankan dengan baik dalam struktur ceritanya serta perjalanan yang agak meleret sebelum sampai ke third act menyebabkan filem yang hebat ini kelihatan agak sukar dihadam dengan mudah.
Plot - Kebiasaannya, saya akan menceritakan plot sesebuah filem secara ringkas. Namun, disebabkan terdapat ramai penonton yang keliru dan tidak faham tentang plot filem ini setelah menontonnya, saya memilih untuk membuat review yang terperinci tentang plot filem ini sambil menunjukkan pada pembaca setakat mana yang saya faham plotnya dan point-point yang ingin tekankan tentang masalah penceritaannya. Plot filem ini mengisahkan zaman dimana sumber makanan menjadi terhad dan semakin berkurangan menyebabkan penduduk bumi berada di ambang kepupusan. Akibat dari itu, manusia terpaksa melupakan banyak perkara dalam aspek kehidupan untuk menumpukan tugas mereka sebagai petani dalam meneruskan survival. Cooper seorang bekas juruterbang NASA telah menemui satu pangkalan rahsia NASA setelah berjaya menyelesaikan satu isyarat kod morse dari bilik anak perempuannya Murph yang disyaki berhantu pada mulanya. Profesor Brand yang mengetuai pengkalan rahsia NASA itu telah berjaya meyakinkan Cooper untuk menjadi juruterbang dan ketua dalam misi bernama Endurance dimana objektifnya ialah mengesahkan planet yang boleh diduduki manusia atas beberapa calon planet yang telah dikenalpasti dalam misi 10 tahun sebelumnya dipanggil misi Lazarus. Planet-planet yang berada jauh di solar sistem bumi ini telah berjaya diterokai hasil dari penemuan sebuah Wormhole berdekatan planet Zuhal, 50 tahun lepas. Mengikut kajian NASA, mereka percaya Wormhole itu diletakkan disitu oleh sebuah entiti makhluk misteri.
Cooper yang ditemani Amelia (anak perempuan Prof Brand), Romilly, Doyle, dan 2 buah robot pintar bernama TARS dan CASE berlepas meninggalkan bumi untuk memulakan misi eksplorasi angkasa mereka berasa sedih dan serba salah akibat terpaksa meninggalkan anaknya Murph dan Tom. Ini kerana Murph berkeras tidak mahu ayahnya pergi ke angkasa setelah mendapat alamat dari hantu dalam biliknya supaya jangan berganjak.Misi Endurance telah berjaya menjejaki 3 buah calon planet yang mereka cari setelah melalui Wormhole di planet Zuhal itu. Misi mereka bermula dengan planet yang didiami oleh angkasawan Miller, kemudian ke planet angkasawan dr,Mann dan berakhir di Blackhole bernama Gargantua yang berdekatan dengan planet angkasawan Edmund. Akibat dari situasi yang memaksa, Cooper dan TARS telah membuat keputusan masuk ke dalam Blackhole tersebut untuk mengumpul data.
Sejurus masuk ke dalam Blackhole tadi, Cooper telah terperangkap didalam ruang dimensi berpanggil 'tesseract' dimana didalamnya terdapat portal yang menyerupai bilik Murph. Apa yang memeranjatkan Cooper ialah hantu yang diceritakan oleh Murph sebenarnya ialah dirinya sendiri yang terperangkap didalam dimensi yang lain. Cooper yang tidak berputus asa cuba berkomunikasi dengan anaknya dan akhirnya berjaya menghantar formula bagi menyelesaikan masalah mengatasi gravity bumi untuk ke angkasa lepas (dipanggil Plan A oleh Profesor Brand) melalui kod morse pada jam tangan Murph atas bantuan entiti makhluk misteri yang bertanggungjawab pada mulanya meletakkan Wormhole berdekatan planet Zuhal. Setelah kesemua formula berjaya dipindahkan pada Murph, entiti makhluk misteri itu telah menutup dimensi tessaract itu dan mengeluarkan Cooper dari Blackhole dan Wormhole dan akhirnya berjaya diselamatkan oleh Murph yang sudah tua berdekatan dengan planet Zuhal. Atas segala kejadian yang berlaku seperti dirancang ini, Cooper telah mendapat ilham bahawa entiti makhluk misteri ini sebenarnya ialah manusia masa hadapan yang berupaya mengubah ruang dimensi dan merentas masa dimana motif mereka sebenarnya adalah untuk membantu manusia zaman sekarang daripada pupus disebabkan tinggal dibumi yang ketandusan makanan untuk hidup.
Storytelling - Nolan semestinya mempunyai kelebihan dalam menyampaikan karyanya. Filem ini berjaya memberi penonton suatu pengembaraan penuh emosi, visual yang hebat, serta bermain dengan ruang angkasa penuh misteri. Ia majestic dan epik. Sedikit sebanyak ia memberi penghormatan kepada filem Stanley Kubrick iaitu 2001: A Space Odyssey. Namun terdapat beberapa aspek penceritaan yang boleh dipertikaikan atas sebab kelemahan stuktur cerita itu sendiri, YA. Terlebih dahulu ingin saya tekankan disini, saya memang memberi keutamaan dalam penilaian sudut penceritaan filem ini. Kerana disini Nolan tidak membuat filem art house. Dimana jarang bagi saya meletakkan keutamaan kepada sudut penceritaan bagi filem art house. Interstellar merupakan filem yang penuh dengan idea, plot, dan penceritaan. Dan bagi saya penceritaannya seharusnya dinilai dengan wajar.
1) Situasi dimana memerlukan penjelasan, situasi dimana tidak memerlukan penjelasan.
- Keadaan bumi yang ketandusan makanan tidak ditekankan cause dan effectnya secara jelas dan terinci dimana situasinya nampak seperti tidak kritikal sebenarnya untuk Cooper berkorban nyawa pada situasi yang beliau sendiri tidak pasti. (masyarakat hidup aman damai boleh bersosial dan main besbol tanpa ada rusuhan, sosio ekonomi yg nampak normal, tiada huru-hara dan tiada jenayah melunar atas kenaikan kehendak pada bekalan makanan yang berkurangan)
- Situasi dimana Romilly menerangkan pada Cooper (seorang bekas angkasawan NASA) tentang apa itu Wormhole dalam bahasa budak sekolah. Dimana penjelasan itu tidak perlu sebenarnya kepada watak Cooper. Nolan kebiasaan lebih pandai menyusun skripnya pada tempat yang sesuai dalam menerangkan sesuatu kepada penonton.
-Profesor Brand sebenarnya menipu keberhasilan plan A (tentang penyelesaian tarikan graviti bumi) kerana hendak memastikan semua manusia bekejasama menjayakan projek itu. Bagaimana projek ini diluluskan kerajaan. Dan bagaimana profesor Brand boleh menipu ribuan pekerja NASA dengan jayanya. Bukankah setiap perkara saintifik itu perlu dibuktikan baru sesuatu projek bernilai berbillion US dolar dapat diluluskan.
2) Nolan gemar menerangkan situasi yg berlaku dengan banyak jalan pintas dan sebab yang agak malas sehingga boleh dipersoal penonton,
- Usaha Profesor Brand jika dinilai semula adalah usaha yang sia-sia kerana segala usahanya dalam operasi NASA itu tidak dapat menyelematkan nyawa cuma boleh menghantar manusia baru dalam bentuk benih ke angkasa lepas (Plan B) . Disini Nolan menjelaskan ia adalah usaha murni kerana menyelamatkan manusia yg belum hidup adalah lebih mulia dari menyelamatkan manusia yg sedang berjuang untuk hidup.
- Kenapa Cooper dipilih oleh Profesor Brand untuk mengetuai misi angkasa lepas sedangkan Cooper baru sahaja menjumpai pengkalan NASA itu. Apa istimewanya Cooper. Adakah tidak ada calon lain ketika itu selain Cooper. Jika tiada calon lain kenapa projek Endurance sudah bermula tanpa wujudnya Cooper sebagai calon sesuai. Disini Nolan menjelaskan Cooper adalah orang istimewa yang diangkat untuk misi ini. "you are the chosen one"
- Dengan teknologi robot pintar yang ada seperti TARS dan CASE, Kenapa mereka harus menghantar manusia. Kenapa mereka sanggup memperjudikan nyawa manusia pada sesuatu yang tidak pasti. Disini Nolan menjelaskan robot tidak ada naluri untuk hidup 'survival instinct' seperti yang ada pada manusia.
3) Plot issue
- Di dalam dimensi tessaract, Cooper cuba memberitahu 'Cooper masa silam' supaya duduk, jangan pergi ke mana-mana. Tapi kenapa Cooper memberikan coordinate NASA kepada 'Cooper masa silam'. Adakah itu satu tindakan yang kontradik.
- 'Manusia masa hadapan' telah membantu 'manusia masa silam' untuk menjadi 'manusia masa hadapan' itu sendiri. Jika tidak bantu manusia akan pupus di masa hadapan. Persoalannya bagaimana 'manusia masa hadapan' boleh wujud dalam membantu 'manusia masa silam' dari pupus sedangkan di masa hadapan itu manusia sudah pun pupus.
- Plan A merupakan 'bootstrap paradox' dalam filem ini. Dimana maklumat yang dihantar dari masa hadapan ke masa silam akan terbit semula di masa hadapan untuk dihantar balik ke masa silam. Disini persoalannya siapa yang mencipta Plan A menjadi tanda tanya samada 'manusia masa hadapan' yang menghantar ke masa silam atau 'manusia masa silam' yang mewariskan ilmunya sampai ke generasi 'masa hadapan'. Teringat kata-kata Cooper pada saat akhir di tessaract "they didn't bring us here to change the past".
5) Love is one thing that trancends time and space
- Kenapa Amelia ikut naluri cintanya untuk pergi ke planet Edmund si buah hatinya sehingga mengabaikan segala ilmu dan kajiannya tentang angkasa lepas. Ohhh Nolan nak bagitahu bahawa 'loves trancends anything'.
- Kenapa Cooper dipertemukan dengan anak perempuannya di Blackhole oleh 'manusia masa hadapan' tapi bukan anak lelakinya. Sebab kasih cooper pada anak perempuannya sangat mendalam. Adakah 'manusia masa hadapan' itu adalah Cooper yang sudah menjadi 5 dimensional being di masa hadapan.
-Hakikatnya cintalah yang menyebabkan segala kejadian astro fizik dan time travel ini berlaku hasil dari cinta manusia masa hadapan untuk menyelamatkan manusia masa silam.
6) Nolan bagitahu bahawa cinta mengatasi segalanya tetapi dalam masa yang sama perkara yang sebaliknya berlaku.
- Profesor brand sengaja memilih angkasawan yang tiada naluri dan pertalian cinta keluarga sebagai calon dalam misi Lazarus 10 tahun lepas agar mereka ini fokus pada misi satu hala yang mengundang kematian tanpa rasa apa-apa kehilangan, tetapi tindakan profesor Brand menghantar anaknya Amelia yang dia cintai dan punya pertalian rapat untuk menyertai misi Endurance ini seperti bercanggah dengan tindakannya. Oh niat sebenarnya untuk selamatkan Amelia daripada mati di bumi kerana bumi tiada harapan lagi. Jadi kenapa bapanya tidak ikut sekali untuk selamatkan dirinya.
- CINTA Cooper pada anaknya Murph yang menjadi pendorong si bapa untuk mencari jalan menyelamatkan bumi. Cinta Amelia pada kekasihnya Edmund yg menjadi pendorong si kekasih berusaha meneroka angkasa. TETAPI KENAPA pada pengakhiran cerita perkara ini tidak dizahirkan dimana cinta bapa kepada anak antara Cooper dan Murph yang lama terpisah seperti tidak dirasai apabila babak akhir dimana Murph menyuruh bapanya pergi dan si bapa akur lalu pergi sambil sempat mencuri spaceship.
- Apakah rasionalnya tindakan Cooper mencuri sebuah spaceship untuk menyelamatkan Amelia di planet Edmund. Pelik benda ini berlaku sedangkan Cooper Station telah berada di planet zuhal dan sudah menghamipiri worm hole untuk ke plant Edmund. Kenapa si Cooper tidak sabar dan gelojoh sehingga sanggup bertindak sendirian tanpa bantuan sesiapa. Apa yg ingin beliau buktikan. Kerana CINTA? oh tidakkkkk.
7) Plan A yang bersifat saintifik itu seakan-akan black magic.
- Plan A ialah penyelesaian mengubah gravity dibumi. Dimana profesor Brand sudah membuktikan bahawa formula itu mustahil dan dia memberitahu kepada Murph bahawa plan A itu satu penipuan.
Tetapi entah bagaimana, mengikut ilham yang terbit dari minda Murph, dia mengandaikan bahawa formula gravity oleh Prof Brand hanya separuh dari penyelesaian graviti dan separuh lagi ada di Blackhole. WOW. Macamane boleh terbit ilham sebegini. (dia tiba-tiba menjelaskan perkara ini pada teman lelakinya di dalam kereta). Dan untuk mendapatkan separuh lagi formula penyelesaian yang terdapat di Blackhole, nalurinya mengatakan dia harus pergi ke bilik tidurnya dan tunggu satu keajaiban berlaku. Lagi sekali WOW.
- Secara kebetualan, apa yang diperlukan oleh Murph seperti dapat dibaca oleh Cooper tanpa diminta lalu Cooper telah menghantarkan formula kurniaan manusia masa hadapan melalui perantara TARS si robot yang disalurkan secara kod morse menerusi jam tangan Murph. Lagi sekali WOW.
Jason Bourne cameo dalam Interstellar.
Character Development - Watak Cooper dikembangkan dengan baik. Emosi dan konflik yang bersangkut paut dengan kasih sayangnya pada Murph digarap dengan baik. Watak-watak lain boleh dikatakan sederhana cuma watak Tom anak Cooper seperti tidak dikembangkan kerana wataknya seperti terasing.
Skrip dan lakonan - Nolan seperti filemnya sebelum ini gemar menjual idea baru kepada penonton. Idea ini kebiasaannya akan diterangkan secara terperinci cuma kali ini skrip bagi interstellar nampak terlalu banyak penjelasan sehingga pada satu ketika ia seperti tidak perlu. Cooper lakonan Matthew McConaughey merupakan permata dalam filem ini. Emosi yang disampaikan mudah diserap penonton. Amelia lakonan Anne Hathaway pula kelihatan tidak menyerlah sebagai angkasawan.
Muzik dan lain-lain - Hans Zimmer sebagai komposer memberikan yang terbaik dalam filem ini. Emosi yang disampaikan sangat bersesuaian dengan elemen misteri angkasa lepas, kasih sayang, kesunyian, dan masa. Muziknya yang berhantu dengan pengaruh gothic J.S Bach pada elemen utama organ pipenya seperti memberi penghormatan kepada 2001: A Space Odyssey. Visual efek bagi filem ini nampak sedikit unik. Ia nampak dipengaruhi oleh visual filem Stanley Kubrik dimana ia lebih menggunakan praktikal efek. Cinematogafinya sangat cantik dengan angkasa lepas sebagai ruang yang misteri dizahirkan dengan berkesan.
Kesimpulan - Akibat terlalu banyak penjelasan dalam semua idea saintifik akhirnya menjerat filem ini dan ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan cerita. Walaupun penceritaannya tidak berapa utuh, Interstellar merupakan sebuah filem hebat dari Nolan. Apa yang hebat tentang filem ini, ia akan mengajak penonton berbincang tentang idea yang cuba disampaikan dan semestinya penonton diajak menonton lebih dari sekali untuk menghadamnya. Filem ini akan menjadi 'instant classic' sekiranya Nolan dapat mengurangkan banyak penjelasan, membiarkan persoalan dan misteri bermain difikiran penonton. Dan membiarkan penonton memberi pemahaman mengikut persepektif mereka sendiri. Bagi penggemar filem, jangan lepaskan peluang anda menonton filem ini. Sebuah filem yang harus dijamu dipawagam dengan santapan skrin IMAX. Bergegas ke cinema berhampiran sekarang.
My personal evaluation: 7.5/10 bintang
Warner Bros. Pictures Official FB Page: www.facebook.com/WarnerBrosMalaysia
No comments :
Post a Comment