Wednesday 9 July 2014

CINEMA TODAY: Dawn of the Planet of the Apes (2014)


CINEMA TODAY:  Dawn of the Planet of the Apes (2014)
Directed by Matt Reeves

Planet of the Apes, POTA merupakan franchais filem yang agak berumur. Franchais yang bermula dari tahun 1968 ini berkembang seperti kebanyakan franchais filem hollywood yang lain yakni menjadi sakit dan uzur selepas beberapa filem terhasil. Seperti biasa, hollywood yang kekurangan idea berkarya sangat suka memberi nafas baru (reboot) kepada filem lama dengan harapan filem reboot ini akan menjadi magnet duit. Hanya segelintir sahaja filem reboot yang berjaya menjuarai filem asalnya. Rise of the Planet of the Apes merupakan antara contoh filem reboot tersebut. Ia memberi nafas baru kepada POTA serta menjadi filem prekuel dimana ia bercerita tentang asal-usul kejadian beruk pintar yang disulam dengan penceritaan yang menarik dan realistik serta tema yang lebih berat.

Selepas penonton disajikan dengan kelazatan RISE, kini muncul pula Dawn of the Planet of the Apes, yang merupakan filem sekuel terbaru arahan Matt Reeves. Satu tanggungjawab yang berat bagi Matt Reeves untuk memastikan filem sekuel ini dapat menyamai kehebatan karya RISE arahan Rupert Wyatt. Berbekalkan portfolio yang baik dengan filem seperti Let Me In dan Cloverfield, Matt Reeves merupakan calon yang sesuai bagi filem sekuel ini dan semestinya harapan penonton adalah sangat tinggi.

Plot - DAWN mengisahkan komuniti beruk pintar yang diketuai oleh Ceasar (lakonan Andy Serkis) mula diancam bahaya apabila kehidupan aman mereka di dalam hutan pinggir bandar San Fransisco bertembung dengan komuniti manusia. Kisah berlaku 10 tahun selepas RISE, di mana manusia merupakan spesis yang hampir pupus akibat penyakit maut Simian Flu. Saki baki manusia yang tidak terjejas dengan penyakit ini meneruskan kehidupan sukar apabila bekalan sumber asas dan tenaga semakin berkurangan. Dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sumber tenaga elektrik, komuniti yang diketuai oleh Dreyfus (lakonan Gary Oldman) telah mengarahkan Malcolm (lakonan Jason Clarke) untuk membaiki stesen hydroelektrik yang terletak di dalam hutan yang dikuasai oleh komuniti beruk.Di sinilah konflik antara 2 komuniti ini bertembung. Kedua-dua komuniti ini merasa terancam apabila dunia mereka bertembung. Keadaan yang penuh dengan prasangka buruk antara satu sama lain, diburukkan lagi dengan golongan-golongan jahat yang cuba mencabar keamanan yang wujud menyebabkan perang tercetus di antara mereka.

Storytelling - Filem bermula dengan babak yang mengkagumkan di mana Ceasar mengetuai komuniti beruknya memburu segerombolan rusa.Babak yang dirakam dengan cantik ini hanya ditemani dengan muzik ambient yang menyeramkan yang diambil sebagai penghormatan dari skor muzik filem 2001: A Space Odyssey. Dengan permulaan yang baik, filem ini berjaya mengekalkan momentumnya sehingga ke akhir. Ia sebuah filem yang dibuat dengan penuh kasih sayang oleh Matt Reeves dengan penceritaan yang bagus,kemas berserta dengan tema yang berat. Sebuah filem yang 'dark' dan penuh emosi, penonton dapat menghubungkan filem ini dengan apa yang terjadi pada realiti dunia sekarang. Sejujurnya saya memang tersentuh menonton filem ini apabila mereka yang naif dan jahil telah terkorban akibat perang. Terdapat beberapa metafora kepada realiti dunia sekarang yang cuba disampaikan.Antara subtextnya:
1) Apabila manusia lemah yang ditindas (penduduk asia barat,dunia ketiga, blok timur) itu diberi peluang sama taraf keupayaan dengan golongan yang kuat (new world order dan blok barat) tetapi mereka yg lemah ini masih juga tidak menggunakan peluang yang ada untuk menjadi bertambah maju. Yang terjadi ialah sebaliknya - iaitu kerosakan yang sama yang menjurus kepada sebab kenapa mereka yang lemah ini menjadi lemah pada mulanya.
2) Sejarah telah banyak mengajar kita bagaimana sesebuah kerajaan itu dijatuhkan dari dalam, di mana terdapat dalang yang akan membelot dan mengambil kuasa lantas perubahan rejim berlaku seperti menukar baju. Apa yang menarik, pembelot ini tanpa kita sedari ialah orang kanan seperti jeneral tentera yang sepatutnya menjadi benteng depan sesebuah negara. Lihat sahaja sejarah kerajaan Turki Uthman, 1965 Indonesia, Mesir, Libya, dan beberapa lagi negara dunia ketiga di mana perubahan rejim berlaku disebabkan pembelot-pembelot ini. Kesemuanya memiliki pattern yang sama.
3) Melihat pergerakan beruk ini dalam mengurus komuniti mereka dengan motto 'apes together, strong', ia nampak seperti sesuatu yang mudah. Tetapi realiti dunia sekarang perkara itu sangat sukar untuk dicapai. Manusia itu masih lagi leka bercakaran dan membiarkan diri dijajah oleh golongan yang kuat dengan aplikasi "devide and conquer" mereka.Mesej disini memberitahu kekuatan itu bermula dari penyatuan. Nabi Muhammad SAW pernah menekan perkara ini di mana bahayanya sesebuah kerajaan mempunyai lebih dari 1 pemimpin kerana ia akan mengundang perpecahan dan permusuhan dan ketaatan kepada pemimpin yg baik sangat dituntut bagi memastikan kerajaan itu hidup aman dan makmur.
Saya cuba juga mencari kelemahan filem ini, tetapi tidak berjaya. Terdapat banyak babak-babak menarik dalam filem ini. Antaranya babak seekor beruk yang berpura-pura menjadi beruk bodoh di hadapan manusia lalu membunuh manusia itu setelah berjaya merampas senjata mereka. Ia jelas menunjukkan, walaupun manusia itu sudah mengenali siapa musuh mereka namun seringkali manusia masih lagi leka dan mudah ditipu.
Ada byk lg yg harus diceritakan, namun saya tidak mahu menceritakan kesemuanya kerana tidak mahu memberikan spoiler filem ini.
(Nota: Hanya filem yang bagus sahaja yang layak untuk dirahsiakan spoilernya.Ingat tu)


Character development - Perkembangan watak ceasar diolah dengan sangat baik. Dilema yang dialaminya sebagai pemimpin komunitinya, hubungan yang suram dengan anaknya,  konflik yang wujud antara beliau dengan musuhnya, ketegasan dan kelembutan dalam dirinya merupakan aspek-aspek yang menjadikan watak Ceasar menjuarai kesemua watak manusia dalam filem ini. Selain itu, watak beruk-beruk seperti Koba, River dan yang lain juga dikembangkan dengan baik sekali. Saya sangat tertarik dengan ketelitian perilaku beruk dalam filem ini. Perilaku mereka bermula dengan bahasa isyarat, tetapi apabila keadaan menjadi tegang, mereka boleh melontarkan suara, perubahan dibuat sangat halus dan tidak mendadak. Perkembangan watak manusia agak kurang sedikit berbanding beruk. Malcolm merupakan watak utama manusia digambarkan seorang yang cintakan keamanan dan sanggup melakukan apa sahaja mengekalkan keamanan itu. Yang mendukacitakan ialah watak Dreyfus lakonan Gary Oldman yang tidak dikembangkan. Ia seperti satu pembaziran apabila pelakon hebat seperti beliau hanya mempunyai durasi yang pendek dalam filem ini. Namun masih terdapat momen yg menyentuh perasaan bagi watak Dreyfus ini.
  

Skrip dan lakonan - Skrip filem ini sangat baik. Hasil tulisan Rick Jaffa, Amanda Silver, Mark Bomback. Penulis seperti mereka sangat diperlukan hollywood sekarang. Lakonan Andy Serkis sebagai Ceasar layak mendapat anugerah Oscar pada pendapat saya. Ini kerana lakonannya bukan sekadar seorang pelakon motion capture. Andy menjiwai watak ceasar dari dalam. Boleh dilihat dalam beberapa scene yang tidak memerlukan Ceasar bergerak, tetapi emosi, karisma, kerektor ceasor itu sangat signifikan dilakonkan oleh Andy. Lakonan Toby Kebbell sebagai Koba juga sangat baik,diikuti Jack Russell sebagai Malcolm dan Gary Oldman sebagai Dreyfus. Walaupun watak Dreyfus sangat sedikit,Gary Oldman sempat lagi meyakinkan penonton dengan momen sedih Dreyfus mengimbas memori silam.

Muzik dan lain-lain - Alunan piano yang ringkas serta bercampur dengan muzik ambient pada saat emosi dan tribal percussion pada babak aksi hasil garapan Michael Giacchino memberikan mood yang bersesuaian dengan filem ini. Syukur tiada muzik boombastik dari hollywood yang kedengaran. Giacchino juga sempat mengadunkan muzik dari filem asal POTA dan filem 2001 sebagai tanda penghormatan. Bagi efek CGI, tahniah diucapkan kepada pasukan Weta Digital yang telah berjaya menghasilkan efek visual/motion capture yang paling realistik setakat ini. Ia membuatkan makhluk asing dari filem Avatar nampak seperti watak kartun. Percayalah, anda tidak akan nampak hasilnya seperti beruk jadian atau beruk alien, ia nampak seperti beruk betul yang dilatih bercakap. Hasil kerja kamera juga dilihat sangat mantap, terasa seperti menonton filem Sergio Leone apabila wujud banyak babak close up bagi melontarkan emosi watak. Shot pada babak aksinya juga sangat cemerlang. Kamera shot ketika kereta kebal yang dinaiki seekor beruk merempuh pintu utama bandar manusia masih segar dalam ingatan saya.

Kesimpulannya, DAWN bukan sahaja hasil Hollywood blockbuster yang hebat malah ia juga punya jiwa. Ia antara filem sekuel yang berjaya mengatasi kehebatan filem terdahulu iaitu RISE. This is the power of cinema - bila mana isu keganasan, pertukaran regim, dominasi, counter balance cuba diadunkan dalam sebuah filem blockbuster. Filem harus tonton 2014. Saksikannya di pawagam berhampiran anda sekarang.

My personal evaluation: 9/10 bintang


Official Site: 
20th Century Fox Official FB Page: www.facebook.com/foxmovies.my
Fox Malaysia’s YouTube Channel: https://www.youtube.com/user/FoxMalaysia


No comments :

Post a Comment