Thursday 22 May 2014

CINEMA TODAY: X-Men: Days of Future Past (2014)


CINEMA TODAY:   X-Men: Days of Future Past (2014)
Directed by Bryan Singer

X-Men merupakan franchise superhero pertama yang telah berjaya membawa genre filem superhero selangkah ke hadapan dengan memberikan penceritaan yang realistik dengan perkembangan watak yang mantap bagi sebuah filem fantasi. Elemen sebegini tidak wujud pada filem superhero sebelumnya. Ia bermula pada tahun 2000 hasil garapan mantap oleh pengarah yang terkenal dengan filem hebat Usual Suspects iaitu Bryan Singer. Kehebatan filem X-Men pertama ini diteruskan pula dengan sekuelnya bertajuk X2 yang merupakan filem terkuat franchise ini. Tetapi malangnya apabila X-Men: Last Stand yang merupakan penutup bagi trilogy X-Men telah merosakkan franchise ini. X-Men: Last Stand arahan Brett Ratner tidak mendapat sambutan malah ia ditolak oleh peminat X-Men mahupun penonton kasual kerana plot yang kelam kabut, penceritaannya yang tidak kemas dan perkembangan watak yang agak kartun. Selepas trilogy X-Men berakhir dengan Last Stand, franchise X-Men cuba dihidupkan semula dengan X-Men: First Class oleh pengarah hebat Matthew Vaughn. Sambutan penonton pada mulanya hambar ketika trailer X-Men: First Class mula ditayangkan. Harapan penonton adalah sangat rendah ketika itu dengan memori buruk X-Men: Last Stand masih segar dalam ingatan. Jangkaan penonton tiba-tiba berubah apabila X-Men: First Class terbukti berjaya mengembalikan resepi kehebatan X2 dan mendapat sambutan yang positif dari penonton.

Gandingan mantap Matthew Vaughn dan Bryan Singer dalam X-Men: First Class diteruskan pula dengan filem terbaru franchise iaitu X-men: Days of Future Past. Walaupun saya seorang peminat komik X-Men ketika di sekolah dahulu atau boleh digelar fanboy, saya sama sekali akan menilai filem terbaru X-Men ini dari kacamata seorang penonton filem tanpa prejudis. Semestinya saya meletakkan harapan yang tinggi pada filem ini ketika melangkahkan kaki masuk ke panggung. Dengan dibarisi pelakon kelas A Holllywood yang agak ramai, track record pengarah Bryan Singer dan penglibatan Matthew Vaughn dalam bidang penulisan, filem ini seperti tiada alasan untuk menjadi buruk.

Plot - X-Men: Days of Future Past mengisahkan kehidupan manusia pada masa hadapan di tahun 2023 yang dilanda kemusnahan teruk akibat dari ancaman sekumpulan robot Sentinels yang membunuh manusia yang mempunyai DNA tidak normal atau DNA mutant. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengalahkan kehebatan robot-robot ini. Mereka telah berjaya membunuh kesemua mutant-mutant hebat termasuk ahli X-Men yang terakhir iaitu Kitty Pryde dan Bishop.Walau bagaimanapun, sebelum dibunuh, Kitty Pryde masih sempat membawa minda Bishop ke jasad Bishop pada waktu lampau. Disini bermula cerita apabila Bishop berkumpul bersama-sama dengan ahli X-Men yang lain untuk membincangkan tindakan susulan. Setelah berbincang sesama mereka, Wolverine telah ditugaskan untuk menyelamatkan masa hadapan dengan cara membawa mindanya ke jasad Wolverine pada tahun 1973, bagi menghalang program sentinel dilancarkan sejurus selepas Mystique membunuh Boliver Trask dan  dalam masa yang sama dia juga harus menyelamatkan Mystique dari ditangkap untuk dijadikan bahan ujikaji untuk mewujudkan robot Sentinels terhebat mark X.

Storytelling - Kebiasaannya penceritaan filem superhero akan diambil mudah oleh Hollywood atas alasan ianya filem fantasi dan filem sebegini pasti akan membawa pulangan besar ke dalam kantung mereka. Pada saya, walaupun ia filem fantasi sekalipun, ia mesti berpegang pada realiti dunia fantasi itu sendiri bagi menghasilkan konflik yang munasabah, motif yang kuat, dan penceritaan yg kemas. Bagi filem ini, sepanjang sy menonton, ia berpegang pada realitnya dengan kemas dan sukar bagi saya mencari situasi yang 'not making sense' atau jalan pintas yang direka penulis. Apa yang saya perhatikan, penulis dan pengarah  membuat penyelidikan terperinci bagi memastikan cacat cela penceritaan dapat dikurangkan seminimal yang mungkin. Bayangkan sebaik sahaja filem bermula, penonton terus dibawa kepada aksi pergaduhan mutant dan robot sentinels. Dengan keadaan yang teruk di masa hadapan, filem ini sebenarnya bermain dengan tema harapan dalam usaha protagonist cuba untuk membaiki keadaan di masa lampau. Tahniah pada Bryan Singer kerana filem ini memang berjaya mengembalikan kehebatan filem X2. Dengan penceritaan dan editing yang kemas, filem ini dapat dihadam dgn mudah walaupun bermain dengan plot kembali ke masa silam yang rumit. Tidak keterlaluan jika saya katakan, filem ini adalah lebih baik dari filem superhero Avengers kerana tema harapan yang dihidangkan dan motif watak sangat kuat bagi menguatkan plot. Kali terakhir saya menonton filem di panggung dgn penuh kusyuk dan 'engaging' ialah filem Prisoners. Perasaan yg sama dapat sy rasakan ketika scene crosscutting antara masa lampau dan masa hadapan. Hati sy berdebar sekejap dan sedikit sebak apabila kesemua watak di masa hadapan tidak dapat melakukan apa-apa untuk melawan kekuatan robot sentinels lalu mati dibunuh. Walaupun begitu, filem ini juga tidak lupa dalam menyelitkan aksi humornya. Aksi humor dari watak Quicksilver tampak semulajadi dan tidak dibuat-buat pada saya merupakan bonus tambahan pada filem. Walaupun tidak banyak tapi ia sangat efektif.

Character development - Perkembangan watak dlm filem ini diolah dengan sangat baik. Watak Wolverine digarap dengan baik walaupun 'urgency' watak yang mengalami mala petaka masa hadapan yang kritikal seperti tidak kelihatan.Tapi ia masih boleh dimaafkan. Motivasi kuat Prof X untuk membantu Wolverine juga dikembangkan dengan baik apabila Prof X sendiri telah berjumpa dengan dirinya di masa hadapan melalui minda Wolverine. Konflik antara Prof X dan Magneto juga di hidangkan dgn kemas. Pendapat mereka berdua sentiasa berbeza sehingga Magneto mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Tetapi terdapat juga persoalan yg timbul dimana watak Kitty Pryde seperti tidak dikembangkan apabila superpowernya yang dapat membawa minda ke masa lampau seperti tidak diperincikan. Kenapa dia tidak bertindak lebih awal utk membawa Wolverine. Adakah ketika dia menghantar Bishop itu merupakan kali pertama dia melakukan pemindahan minda? Motif Mystique untuk membunuh Trask tidak ditekankan sangat. Kenapa dia sorang sahaja mutant yang beriya-iya sangat nak bunuh Trask sehinggakan kawan-kawan mutantnya nasihat pun tidak diendahkan. Seperti ada dendam kesumat yang berbentuk peribadi. Bagaimana Prof X masih hidup di masa hadapan sedangkan beliau sudah mati dalam X-Men: Last Stand. Oh ya. Penulis ambil jalan pintas dengan memberitahu penonton ketika di end credits X-Men: Last Stand dan Wolverine tanpa penjelasan yang kukuh. Walau bagaimanapun persoalan itu seperti dapat dilupakan kerana ia terlalu kecil dan tidak mengganggu plot dan penceritaan.

Skrip dan lakonan -  Penulis skrip Simon Kinberg ternyata memberikan yang terbaik bagi filem ini bagi menebus kesalahan beliau ketika menulis X-Men: Last Stand bersama Zak Penn dahulu. Walau bagaimanapun, peranan Matthew Vaughn sebagai penulis juga memberi pengaruh besar atas kejayaan filem ini. Pujian juga harus diberikan pada lakonan hebat James McAvoy, Micheal Fassbender, Hugh Jackman dan tidak lupa Peter Dinklage yg mememang watak Bolivar Trask seorang ahli sains dan kapitalist bertubuh kerdil tetapi tidak nampak kerdil dalam filem ini.

Muzik dan lain-lain - Pembukaan filem ini, anda akan disajikan dengan skor muzik asal filem X2 hasil karya John Ottman. Muzik ini seperti handak memberitahu kepada penonton agar jangan khuatir bahwasanya filem yang setaraf dengan X2 di depan mata anda. John Ottman juga merangkap sebagai editor bagi filem ini. Anda akan bersetuju dengan saya jika saya katakan beliau telah menjalankan 2 tugas serentak dengan cemerlang. Beliau bijak dalam menentukan scene manakah yang perlukan skor muzik dan scene mana yang tidak perlu. Pemilihan lagu juga sangat menarik dan cukup membantu pada beberapa scene. Seperti dalam scene slow motion di mana Quicksilver bertindak pantas cuba menyelamatkan keadaaan. Ketika itu masa seolah-olah terhenti, cuma beliau sahaja yang dapat bergerak kerana terlalu laju. Aksi yang hebat sambil diiringi oleh lagu Time In A Bottle nyanyian Jim Croce. Sejujurnya, saya sangat kagum. Scene lain yang menarik ialah ketika di lapangan terbang di mana Mystique berbicara dengan Prof X melalui beberapa mulut orang awam disitu. Dan scene yang menyedihkan bila kesemua watak X-Men masa hadapan dibunuh oleh robot Sentinels. Seperti dapat dirasakan bebanan yang mereka pikul hingga titisan darah terakhir dengan harapan yang tidak kesampaian.

Kesimpulannya, X-Men: Days of Future Past terbukti satu sajian lazat Bryan Singer dalam memberitahu kepada dunia cinema beliau sudah kembali pulih dari hasil filem hambar seperti Jack the Giant Slayer dan Superman Returns.Filem terbaru X-men ini juga merupakan ubat yang berkesan dalam merawat kecacatan trilogy X-Men terdahulu dengan menafikan kewujudan plot X-Men: Last Stand. Ia telah digantikan dengan timeline yang baru selepas sejarah berubah di mana watak Jean Grey, Cyclops dikembalikan semula setelah mati di dalam filem X-Men: Last Stand. Ternyata filem terbaru X-Men: Days of Future Past ini dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan filem superhero hebat yang lain seperti Dark Knight, Avengers, dan X2. Ia juga harus dijadikan rujukan kepada semua pengkarya filem superhero terutamanya pengarah filem The Amazing Spiderman 2 iaitu Marc Webb yang memberikan memori yang buruk kepada peminat dewasa dengan penceritaan kanak-kanaknya.

My personal evaluation: 9/10 bintang

Official Site: 
20th Century Fox Official FB Page: www.facebook.com/foxmovies.my
Fox Malaysia’s YouTube Channel: https://www.youtube.com/user/FoxMalaysia
Trailer (YouTube): http://youtu.be/Gh-p-J8iVB4



No comments :

Post a Comment